KESIMPULAN





Kesimpulannya, fitnah merupakan penyakit hati yang sangat berbahaya.  Kesan yang ditimbulkan oleh fitnah sentiasa negatif dan semestinya tidak akan pernah positif.  Seperti yang kita tahu, luka yang digoreskan atau ditusukkan oleh fitnah lebih tajam daripada pedang.  Kehancuran akibat fitnah lebih dahsyat daripada serangan bom bersenjata. 

Fitnah boleh merosakkan hubungan silaturahim, memporak-perandakan sesebuah keluarga dan masyarakat.  Selain itu, ia juga boleh menghancurkan sesebuah agama dan kaum.
Orang yang suka memfitnah ini berjalan dengan baju kesombongan mengikut kehendak hawa nafsu dan pujukan syaitan.  

Otaknya dikotori dengan prasangka buruk.  Hatinya juga beku, sukar untuk menerima kebenaran dan merasakan dirinya sentiasa betul sehingga cemburu apabila orang lain meraih kejayaan.  Kebahagiannya adalah apabila dia berdiri di atas penderitaan orang lain.  Kehidupan yang dilalui oleh nya terlena dengan tipu daya syaitan.  

Akidahnya dijual hanya untuk memperolehi kesenangan dunia semata-mata.  Ingatlah, Rasulullah SAW bersabda:

“Bahawa fitnah dapat muncul daripada kebodohan merajalela, ilmu telah tercabut dan banyak pembunuhan serta kekacauan.” (HR Bukhari-Muslim)

Kesejahteraan agama bukan hanya menjamin kesejahteraan kepada diri sendiri, malah ia juga memberikan kesejahteraan kepada orang lain, dengan tidak mengata terhadap saudara seagama, tidak menyakiti mereka dan tidak mencabuli hak mereka apatah lagi ahli keluarganya.


Perbuatan menabur fitnah sebenarnya lebih kejam daripada membunuh, kerana kesan kerosakannya lebih teruk. Jika dengan membunuh, walaupun ia tetap salah, tetapi mangsanya mungkin seorang, tetapi dengan fitnah mungkin mengakibatkan ramai orang dan kesannya sehingga bertahun-tahun.


Pada zaman nabi dulu pernah berlaku peristiwa fitnah, sebagaimana dialami isteri baginda, Saidatina Aisyah r.a. Beliau dituduh melakukan perbuatan keji dengan Safwan bin al-Ma'athal selepas perang umat Islam dengan Bani Mush thalaq pada tahun kelima hijrah. Akibat kejadian itu, lebih sebulan Aisyah sakit dan di asingkan Rasulullah sehingga turun ayat yang menegaskan kesucian baginda.


"Sesungguhnya orang yang membawa berita dusta itu golongan daripada kalangan kamu, jangan kamu menyangka berita itu buruk bagi kamu bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar di dunia dan di akhirat.


Sesungguhnya orang yang suka menghebah tuduhan yang buruk di kalangan orang yang beriman, bagi mereka azab yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat dan ingatlah Allah mengetahui segala perkara sedang kamu tidak mengetahui. "Dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu, dan sesungguhnya Allah amat melimpah belas kasihan-Nya." (an-Nur: 11-20)


Untuk mencegah penyebaran fitnah atau menghindari fitnah, kita mesti memupuk silaturahim antara manusia.  Yang kedua ialah selalu berbuat baik kepada sesiapapun, kerana kebaikan hati adalah banteng pertama agar kita dapat terhindar dari fitnah.  Yang ketiga, semampu mungkin hindari dari persaingan yang tidak sihat kerana persaingan yang tidak sihat banyak kesan negatifnya.  



Kehidupan kita pada hari ini dihiasi dengan pelbagai nikmat dan hiasan hinggakan tanpa kita sedari nikmat dan hiasan itu boleh memakan diri sekiranya ia tidak dikawal dengan baik. Kemajuan teknologi komunikasi telah membuka peluang yang amat besar kepada individu tidak bertanggungjawab untuk menyebarkan berita palsu dan memalukan.Golongan seperti ini sentiasa menanti peluang dan ruang untuk mencapai keinginan mereka. Apabila sesuatu berita itu dapat disampaikan, mereka akan merasa puas.
Kemajuan teknologi komunikasi yang begitu pesat dengan kemunculan laman-laman sosial seperti facebook, twitter, blog dan sebagainya akan mendatangkan kemusnahan pada manusia dan alam sekiranya ia tidak digunakan dengan betul. Sepatunya, sebagai seorang muslim kita harus menggunakan kemajuan teknologi komunikasi ini sebagai medan untuk berdakwah dan menyebarkan ilmu.
Antara langkah yang boleh diambil untuk mengatasi masalah fitnah ialah dengan mewujudkan sebuah badan khas yang menyelenggara atau menapis segala paparan di laman sesawang. Hal ini kerana laman sesawang telah menjadi medium utama pada masa kini untuk menyebarkan fitnah. Ini kerana sifatnya yang terbuka dan bebas tanpa sempadan berbanding media cetak. Apatah lagi konsep kebebasan bersuara dan hak asasi manusia yang diamalkan tanpa sekatan dalam internet itu sendiri membolehkan sesiapa sahaja menghantar atau menyiarkan sebarang maklumat sama ada benar atau tidak. Seandainya sebuah badan penapis atau pemantau diwujudkan, cerita-cerita yang tidak sepatutnya dapat dihalang untuk disiarkan, seterusnya mampu mengurangkan masalah fitnah.

No comments:

Post a Comment